Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Saringan di klinik swasta sumbang kenaikan kes Covid-19

SHAH ALAM, 9 JULAI: Bilangan individu yang membuat saringan Covid-19 di klinik swasta turut menyumbang kepada kenaikan kes di Lembah Klang.

Selain faktor ujian di kilang dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ketua pengarah kesihatan berkata mereka terdiri dariipada kalangan berisiko tinggi yang bergelaja dan kontak rapat

“Didapati terdapat ramai juga individu di kawasan Lembah Klang yang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyebut jumlah atau peratusan mereka yang berbuat demikian.

Semalam, KKM menjangka jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur meningkat berikutan saringan di kawasan PKPD.

Hari ini, jumlah jangkitan di seluruh negara melonjak dengan mencatat rekod tertinggi iaitu 9,180 kes. Angka harian tertinggi sebelum ini dicatat pada 29 Mei iaitu 9,020.

Angka harian di Selangor meningkat kepada 4,400 kes, rekod tertinggi di negeri itu. Kuala Lumpur pula mencatat 1,271 kes.

PKPD dikuat kuasa di Selangor membabitkan 34 mukim di lapan daerah bermula 3 hingga 16 Julai. Sebanyak 14 kawasan di Kuala Lumpur turut dilaksanakan PKPD dalam tempoh tersebut.


Pengarang :