Pekerja Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Lorong Enggang, Ampang pada 19 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: Vaksin berkesan hadapi Covid-19, turunkan kes serius

SHAH ALAM, 19 JULAI: Program pemberian vaksin kepada orang ramai dijalankan dilihat berkesan menurunkan kes serius dalam kalangan warga emas bermula Minggu Epidemiologi (ME) ke-23.

Ketua pengarah kesihatan berkata data terkini dari Hospital Sungai Buloh sehingga 18 Julai bagi kes jangkitan kategori 4 dan 5 menunjukkan tren penurunan ketara kes Covid-19 dan tanda keberkesanan sejak ME ke-22 dijalankan pada awal April lalu.

“Ia adalah selaras dengan permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua dimulakan pada bulan yang sama,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap semua warga emas berusia 60 tahun ke atas yang masih belum mendapat janji temu supaya hadir secara terus di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur bermula Sabtu lalu.

Katanya, PPV juga akan terus beroperasi pada hujung minggu termasuk cuti umum dengan suntikan vaksin boleh diperoleh pada hari sama.

“Tindakan ini selaras dengan komitmen KKM dalam membina imuniti kelompok dalam kadar yang segera.

“Rakyat dinasihatkan untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV diberikan serta sentiasa menjaga tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang proses pengambilan vaksin,” katanya.

Graf dipapar KKM menunjukkan penurunan bagi kategori warga emas iaitu berusia 60 hingga 79 tahun bermula ME ke-22 dengan 175 kes kepada 125 (ME ke-23), 117 (ME ke-24), 96 (ME ke-25), 108 (ME ke-26), 102 (ME ke-27) dan 119 (ME ke-28).

Catatan tertinggi adalah pada ME ke-21 iaitu seramai 217 kes.

Pesakit Covid-19 mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1: Tidak bergejala
Kategori 2: Bergejala tanpa radang paru-paru
Kategori 3: Bergejala dengan radang paru-paru
Kategori 4: Bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen
Kategori 5: Pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ (multiorgan)


Pengarang :