Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan Lebuhraya Persekutuan pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kompaun serta-merta individu rentas mukim ketika PKPD

SHAH ALAM, 3 JULAI: Polis Selangor memberi amaran keras akan mengenakan kompaun serta-merta kepada individu yang merentas mukim tanpa kebenaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata kompaun dikenakan kepada mereka yang sudah melepasi kawasan dan akan diarah berpatah balik serta-merta.

“Kalau dia belum melepasi sempadan kita akan arah patah balik tetapi kalau dia sudah merentasi sempadan kita akan kompaun dan arah patah balik. Jika merentasi sahaja sempadan dia sudah melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Bual Bicara PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor semalam.

Arjunaidi juga berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini, kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) paling tinggi dilakukan warga Selangor adalah tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal dan merentas sempadan.

Mengulas mengenai operasi pemantauan di kilang, Arjunaidi memaklumkan terdapat kilang yang beroperasi tanpa surat kebenaran dan ada yang mempunyai surat tetapi apabila diperiksa ia bukan dari sektor yang dibenarkan.

“Ada juga kilang yang didapati beroperasi melebihi had yang ditetapkan kerana jumlah yang dibenarkan adalah sebanyak 60 peratus sahaja. Kita telah memberi arahan untuk diambil tindakan,” katanya tanpa menyatakan jumlah kilang yang dikenakan kompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis memaklumkan PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula hari ini sehingga 16 Julai.


Pengarang :