Rodziah Ismail (tengah) meneliti pelbagai rempah ratus yang dijual sempena e-bazar Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) di pusat beli-belah Galaxy Ampang, Ampang pada 1 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Komuniti India digalak teroka industri halal, kembang perniagaan

SHAH ALAM, 13 JULAI : Usahawan komuniti India di Selangor digalak menerokai pasaran halal bagi mengembangkan lagi perniagaan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri menyediakan latihan berkaitan industri halal untuk membantu usahawan tersebut.

“Meskipun aspek halal hanya tertumpu kepada orang Islam tetapi ia adalah salah satu kaedah penting untuk memperluas perniagaan kerana Malaysia memiliki masyarakat pelbagai kaum.

“Kita mahu komuniti India menembusi pasaran halal secara meluas. Justeru, menerusi program Sitham akan dikongsi cara untuk memperoleh sijil halal,” katanya pada Pelancaran Permohonan Sitham 2021 secara maya semalam.

Rodziah turut menyarankan usahawan mengembangkan rangkaian perniagaan menerusi jualan secara dalam talian bagi meningkatkan pendapatan.

Pada September 2019 Kerajaan Negeri melancarkan Sitham untuk membantu usahawan komuniti India memajukan perniagaan menerusi kaedah bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Orang ramai yang berminat menyertai program Sitham boleh melayari laman sesawang Hijrah Selangor atau hubungi talian 016-951 2458 yang dibuka sehingga 12 Ogos.


Pengarang :