Orang ramai beratur menunggu giliran untuk menyertai Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan MBPJ Jalan 51A/227, Petaling Jaya pada 24 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kuasa PBT kawal kilang terbatas jika tidak langgar syarat operasi

SHAH ALAM, 12 JULAI: Bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) agak terhad untuk menutup kilang bagi membendung wabak Covid-19 jika kerajaan persekutuan membenarkannya.

Peguam Syahredzan Johan menjelaskan PBT boleh bertindak terhadap sesuatu premis jika ia melanggar syarat-syarat pemberian lesen.

“Budi bicara untuk membatalkan lesen mestilah berkaitan dengan pelanggaran syarat-syarat dalam lesen yang diberikan, dan bukannya atas sebab perkara-perkara yang tiada kaitan dengan lesen itu,” katanya di Twitter.

Beliau mengulas isu sama ada kerajaan Selangor melalui PBT boleh menutup kilang sewenang-wenangnya bagi mengawal penularan wabak di negeri ini.

Syahredzan memberi contoh kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak boleh membatalkan lesen pemandu yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) ketika pandemik.

“Lesen memandu boleh dibatalkan atau digantung oleh JPJ (jika langgar akta). Tetapi JPJ tidak boleh membatalkan lesen memandu hanya kerana mahu menghalang orang daripada merentas negeri atau keluar semasa PKP dilaksanakan,” katanya.

“Pembatalan lesen memandu dalam keadaan di atas tiada kena-mengena dengan apa-apa pelanggaran punca kuasa iaitu Akta Pengangkutan Jalan dan melangkaui budi bicara (kuasa JPJ) yang ada.”

Tambahnya, PBT tidak boleh sesuka hati membatalkan lesen operasi kilang jika ia tidak melanggar peruntukan bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Oleh sebab itu, PBT sebenarnya tiada budi bicara yang meluas dan mutlak untuk mengguna pakai Seksyen 107(2) dalam hal ini,” katanya.

Namun, Syahredzan menjelaskan sebuah kilang ditutup di Klang pada 7 Julai menggunakan kuasa Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Apa yang jelas adalah kaedah untuk menutup kilang dalam keadaan penularan wabak sekarang adalah melalui Akta 342, dan bukannya mana-mana kuasa PBT,” katanya.

Undang-undang kecil yang dibuat oleh PBT tidak boleh bercanggah dengan Akta 342, jelas beliau lagi.

“Jika mengikut Akta 342 sesetengah jenis kilang boleh beroperasi, maka undang-undang kecil PBT tidak boleh ‘mengatasi’ akta tersebut,” katanya.

“Undang-undang kecil tidak boleh digunakan untuk menutup kilang yang sememangnya sudah diberi lesen untuk beroperasi. Undang-undang kecil tidak boleh beroperasi menarik hak yang telah diberikan dengan sah sebelum itu.”

UNTUK KENYATAAN PENUH, klik pautan berikut: Kerajaan pusat banyak kuasa tutup kilang bawah akta kawalan penyakit

 


Pengarang :