KWSP pada 2 Disember 2020 memperincikan skim i-Sinar bagi pengeluaran Akaun 1 kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KWSP tutup sementara 10 cawangan dalam kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara beberapa pejabat dan kaunter perkhidmatan pelanggan bermula esok (5 Julai) sehingga dimaklumkan kelak, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan kerajaan.

Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, pejabat-pejabat yang terlibat adalah KWSP Rawang, Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong, Klang, Kajang dan Gombak di Selangor dan KWSP Kuantan, Jerantut dan Pekan di Pahang.

“Sehubungan itu, kesemua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh ini akan dibatalkan.

“Sekiranya ada keperluan untuk hadir ke cawangan KWSP, ahli perlu membuat janji temu semula pada tarikh lain selepas tempoh PKPD,” katanya.

Menurut KWSP, keutamaan akan diberikan kepada janji temu yang dibuat untuk pengeluaran bagi umur 50, 55, 60, hilang upaya dan kematian setelah pejabat berkenaan beroperasi semula.

Bagi ahli yang telah membuat permohonan pengeluaran dan sedang menunggu pembayaran melalui Arahan Bayaran dan cek jurubank, cawangan KWSP berkenaan akan menghubungi ahli untuk urusan pengambilan Arahan Bayaran atau untuk melengkapkan transaksi pengeluaran di cawangan yang dipilih ahli.

Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan lain seperti permohonan pengeluaran perumahan, umur 50, 55 dan 60 boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun.

“KWSP akan terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan ketika berurusan di pejabat bagi memastikan keselamatan ahli dan anggota KWSP adalah terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :