Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka kawat duri susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Damai PJS 8, Petaling Jaya pada 26 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Laungan merdeka, terima kasih iringi penamatan PKPD Apartment Damai

PETALING JAYA, 26 JULAI: Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Apartment Damai PJS8 di sini pada jam 11.59 malam tadi disambut dengan sorakan.

Laungan merdeka, terima kasih serta lambaian cahaya dari telefon pintar meraikan tempoh berkurung selama lapan hari telah berakhir.

Malah selepas lebih setengah jam ‘dibebaskan’  penduduk masih lagi meraikannya dengan terus bersorak ketika anggota tentera sedang membuka kawad dawai sepanjang apartment berkenaan.

Terdapat juga penduduk seolah-olah melepaskan geram dengan membakar mercun berulang kali, namun kesemua penduduk hanya meraikannya di kawasan tangga serta kediaman masing-masing.

Petang semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penamatan PKPD di situ ditamatkan lebih awal selepas dikenakan perintah berkenaan pada 18 Julai lalu.

Penamatan PKPD enam hari lebih awal itu susulan 1,279 penduduk apartment berkenaan menerima suntikan vaksin pada 23 hingga 24 Julai lalu.


Pengarang :