Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin IDCC Seksyen 15 Shah Alam pada 14 Julai 2021- Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 19,000 individu lengkap dua dos vaksin Selangor dalam 18 hari

SHAH ALAM, 25 JULAI: Seramai 19,236 individu lengkap menerima dua dos vaksin di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) dari 7 Julai lalu sehingga semalam.

Menerusi graf dikongsi Exco Perindustrian Dato’ Teng Chang Kim di Facebook, seramai 14,894 menerima suntikan pelalian di bawah Selvax Industri manakala 4,342 menerusi Selvax Komuniti.

Data itu menunjukkan secara keseluruhan sebanyak 109,547 suntikan vaksin dos pertama dan kedua diberikan kepada orang ramai dalam tempoh 18 hari di bawah program berkenaan.

Mengikut pecahan, sebanyak 88,539 dos disuntik menerusi Selvax Industri manakala 21,008 Selvax Komuniti.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Usaha Kerajaan Negeri menerusi Selvax bagi mempercepat imuniti kelompok itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.

 


Pengarang :