Dr Siti Mariah Mahmud. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 400 waris mangsa Covid-19 mohon bantuan khairat kematian

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sebanyak 413 permohonan khairat kematian akibat Covid-19 telah dipohon setakat semalam.

EXCO kesihatan awam berkata dari jumlah terbabit 12 permohonan yang dibuat keluarga atau waris mangsa telah diluluskan.

“Bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank waris dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh kelulusan. Pemohon diminta menyediakan maklumat lengkap,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Sejak Isnin lalu, waris atau keluarga mangsa Covid-19 boleh memohon bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000 yang dibuka sehingga 12 Ogos ini menerusi laman sesawang http://www.selangorprihatin.com.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan berkenaan untuk pesakit wabak yang meninggal dunia membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Peruntukan terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Syarat permohonan seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia
2. Pemohon (waris terdekat) dan yang meninggal dunia (si mati) merupakan anak kelahiran Selangor serta menetap di Selangor atau bermastautin di Selangor lebih 10 tahun
3. Disahkan meninggal dunia berpunca daripada Covid-19 oleh hospital/klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian
4. Meninggal dunia di Selangor
5. Meninggal dunia pada 2021 dan ke atas sahaja
6. Terhad satu permohonan bagi satu keluarga


Pengarang :