Mohd Sahir Mohd Mokji membawa tali pinggang juara WWE sebagai pembakar semangat ketika mendapat suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Julai 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lengkap dua dos vaksin Selangor, peminat Undertaker bawa tali pinggang ‘juara WWE’

PETALING JAYA, 31 JULAI: Seorang peserta program Vaksin Selangor (Selvax) mencuri tumpuan ramai apabila membawa tali pinggang kejuaraan Hiburan Gusti Sedunia (WWE) ketika mendapat suntikan.

Mohd Sahir Mohd Mokji terpanggil membawa aksesori sinonim dengan sukan lasak itu bagi merakam foto kenangan bersama plakad selepas melengkapkan dua dos suntikan di Tropicana Gardens Mall di sini semalam.

Bukan niat meraih perhatian, sebaliknya pekerja Telekom Malaysia (TM) berusia 37 tahun yang hadir bersama isterinya menjadikan tali pinggang ‘gergasi’ itu sebagai pembakar semangat.

“Saya bawa tali pinggang ini sekadar untuk keseronokan, apatah lagi aksesori berharga RM900 ini amat bermakna kerana baharu sahaja tiba di Malaysia kira-kira dua minggu lalu selepas tempahan dibuat melalui kedai dalam talian WWE.

“Sebelum ini saya lihat di media sosial peserta hadir ke PPV dengan memakai kostum pelbagai karakter malah beberapa kenalan turut mengenakan kostum dinosaur dan topi keledar LEGO Star Wars, jadi apa salahnya saya bawa benda saya suka,” katanya yang meminati rancangan gusti sejak sekolah rendah.

Mohd Sahir turut mengibaratkan kejayaan melengkapkan dos vaksin seperti kemenangan diraih ahli gusti profesional Mark Calaway atau popular dengan panggilan The Undertaker ketika di gelanggang.

“Biar apa orang nak cakap, tetapi saya menganggap ini adalah kejayaan terbesar walaupun perjuangan kita memerangi ‘musuh’ iaitu Covid-19 belum berakhir,” katanya yang juga pengumpul aksesori adiwira sejak enam tahun lalu.

The Undertaker merupakan legenda gusti yang bergiat aktif sejak 1990. Bekas juara WWE sebanyak empat kali itu sinonim dengan watak ala mayat hidup yang menggerunkan pihak lawan.

Sementara itu, Mohd Sahir yang menetap di Damansara memuji program Selvax anjuran Kerajaan Selangor kerana mampu membantu mempercepat kadar imuniti penduduk negeri ini.

Beliau memaklumkan hanya menunggu sekitar tiga hari untuk mendapatkan dos pertama selepas majikan mendaftarkan nama kakitangan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang kepada saya dan isteri mendapat vaksin dengan lebih cepat tanpa perlu menunggu lama,” katanya.


Pengarang :