ADN Permatang Rozana Zainal Abidin meninjau proses pemberian vaksin di Klinik Desa Pasir Penambang pada 13 Julai 2021. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNSELANGOR

Lepasi kuota, 3,500 penduduk Permatang mohon vaksin Selangor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sebanyak 3,500 permohonan mendapatkan suntikan pelalian di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) diterima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata angka itu direkod sejak permohonan dibuka pada 30 Jun lalu sekali gus melebihi kuota bagi setiap DUN iaitu 2,500 individu.

“Pendaftaran awal diutamakan dengan kita sasarkan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak memiliki akses internet.

“Ia juga termasuk individu 18 tahun ke atas yang mendaftar di aplikasi MySejahtera menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) belum mendapat tarikh janji temu,” kata Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata kerjasama dijalin dengan 13 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung tradisi, tiga kampung baru termasuk Ketua Komuniti India (KKI) untuk proses pendaftaran berkenaan.

“Penduduk Permatang sangat maklum dan serius untuk menerima suntikan vaksin bagi membantu merealisasikan tahap imuniti kelompok dalam negara,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :