Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 yang koma di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lima lagi kes varian Delta dikesan di Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak lima lagi pesakit Covid-19 dikesan membawa varian Delta di Selangor setakat 13 Julai, semuanya membabitkan penularan tempatan.

Sebelum ini dua pembawa varian tersebut, pertama kali dikesan di India, adalah kes import yang dikesan di negeri ini setakat 30 Jun, menurut angka ketua pengarah kesihatan hari ini.

Kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan varian berbahaya ini (B.1.617.2) paling banyak dikesan di Labuan dengan 14 kes dan 10 di Pahang.

Kuala Lumpur pula mencatatkan lapan kes, Negeri Sembilan enam manakala Johor dan Melaka masing-masing merekodkan lima kes.

Selangor merekodkan tujuh kes varian Delta daripada 67 kes di seluruh negara.

Namun Selangor kekal mendahului negeri lain berkaitan penularan varian Beta (B.1.351), dikesan di Afrika Selatan, dengan 47 kes tempatan daripada 195 kes di seluruh negara.

Sarawak negeri kedua tertinggi merekodkan varian ini dengan 44 kes, diikuti Kelantan (24), masing-masing 13 kes di Kedah dan Perak.

Selangor juga merekodkan lima kes varian Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom, termasuk dua import. Setakat ini hanya 11 kes dikesan di seluruh negara.

Daripada tiga varian membimbangkan (VOC) berkenaan, Delta lebih cepat merebak dan mudah menyebabkan risiko kematian sehingga menjadi perhatian utama pakar perubatan saat ini.

Jumlah keseluruhan kes VOC di seluruh negara setakat ini 273 kes.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Dr Noor Hisham berkata varian Delta yang cepat merebak antara punca peningkatan kes di negara ini.

“Varian Delta, ia merebak dengan cepat, pada permulaan jangkitan R-naught (R0) ialah 5 hingga 8, bererti kalau 100 orang dijangkiti boleh menjangkiti 800 orang dalam tempoh singkat,” katanya.

“Ini kerana, kita lihat, jangkitan mengikut udara dan dalam masa yang singkat, ia (virus) boleh menjangkiti. Kita kena ambil tindakan untuk elak dijangkiti iaitu pakai pelitup muka dua lapis dan elak tempat sesak.”


Pengarang :