Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan pek makanan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Sabak Bernam pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lima pakej khusus bantu rakyat Selangor depani cabaran PKP, Covid-19

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kerajaan Negeri merencana lima pakej khusus termasuk agenda ekonomi jangka panjang bagi membantu rakyat mendepani cabaran Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pelan ekonomi dan kebajikan itu dibuat sepanjang tiga kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan pendekatan proaktif yang mengutamakan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terutama ketika berdepan krisis kesihatan.

“Kerajaan Negeri tidak melengahkan masa merangka pelan ekonomi dan kebajikan untuk meringankan beban rakyat,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Beliau berkata mandat dan kepercayaan yang diberikan dipikul dengan sikap bertanggungjawab serta amanah demi kebaikan rakyat tanpa mengira agama, kaum mahupun fahaman politik.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau proses suntikan vaksin kepada penduduk Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto SALIMEY ABU BAKAR/MBPJ

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri giat melaksanakan program Vaksin Selangor (Selvax) dengan matlamat melindungi nyawa rakyat dan mengerakkan ekonomi.

“Semoga semua ikhtiar ini mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

Pada Mac tahun lalu, Amirudin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin berjumlah RM127.78 juta yang memanfaatkan antaranya petugas hadapan, peniaga dan mahasiswa.

Kerajaan Negeri sekali lagi mengumumkan pakej fasa kedua pada 1 April 2020 bernilai RM272 juta untuk menangani dampak wabak diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri sebanyak RM55.8 juta pada 13 Julai.

Pada 20 Januari tahun ini, Amirudin mengumumkan Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pada 9 Jun, beliau sekali lagi mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.6 juta yang memanfaatkan golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Selvax pula diumumkan pada 30 Jun yang menyediakan 2.5 juta dos vaksin bagi mempercepatkan vaksin warga emas dan B40 serta pekerja industri.

 


Pengarang :