Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop (dua dari kiri) dan Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua dari kanan) bergambar sebagai simbolik semasa program penyerahan sumbangan Zakat Selangor Peduli di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada 22 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS, polis agih 1,000 bantuan makanan kepada individu terjejas pendapatan

PETALING JAYA, 22 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengagihkan 1,000 bakul makanan kepada individu terjejas akibat Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan membabitkan peruntukan RM100,000 itu merupakan inisiatif di bawah Zakat Peduli Selangor.

“Setiap satu bakul makanan bernilai RM100 mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering.

“Ini adalah salah satu usaha untuk membantu mereka terkesan dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan bakul makanan di IPD Petaling Jaya.

Terdahulu, Saipolyazan menyerahkan 150 bakul makanan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata pihaknya menerima 348 permohonan individu terjejas akibat pandemik sejak 5 Julai lalu.

“Bantuan bakul makanan ini akan diagihkan kepada 150 penerima dan nama selebihnya diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya.

“Selain menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), anggota juga mengambil inisiatif sendiri membantu memberikan bantuan,” katanya.


Pengarang :