Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni seorang pendakwah bebas yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 pada 30 Jun 2021. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS santuni pendakwah bebas terjejas akibat PKP

SHAH ALAM, 1 JULAI: Seorang pendakwah bebas yang terkesan disebabkan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan bulanan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata pendapatan lelaki tersebut terjejas kerana sesi pengajian di masjid dan surau tidak dapat dijalankan sehingga perbelanjaan bulanannya semakin sempit.

“Memandangkan situasi semasa yang semakin meruncing kini, kami bersedia untuk menyantuninya bagi kewangan bulanan dan sewa rumah bulanan.

“Beliau yang menyara empat anak bersekolah dan seorang isteri yang tidak bekerja tetap gigih membantu sahabat pendakwah lain yang juga terjejas pendapatan akibat pandemik,” katanya menerusi Facebook

LZS menambah pendakwah terbabit dikategorikan sebagai penerima Bantuan Alternatif Insan Terkesan (Bait) yang disantuni Skuad Saidina Umar dan Operasi Agihan Daerah Petaling.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang terus menerus memberikan info orang perlu dibantu dan kami akan berusaha sebaiknya untuk menyantuni para mustahik.”


Pengarang :