Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop (tiga dari kanan) dan Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua dari kiri) melihat barangan keperluan asas yang disumbangkan oleh LZS semasa program penyerahan sumbangan Zakat Selangor Peduli di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada 22 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS sedia 26,350 bantuan makanan untuk individu terjejas pandemik

PETALING JAYA, 23 JULAI: Sejumlah 26,350 bakul makanan disediakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk diagihkan kepada individu terkesan Covid-19 sehingga Disember ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan itu diberi kepada polis, amil kariah masjid dan jawatankuasa penduduk menerusi inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli.

“Inisiatif ini adalah memudahkan LZS membantu individu terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kadar segera.

“Setakat ini kita mengagihkan lebih 3,500 bakul makanan sejak PKP 3.0 dan ini tidak termasuk proses sanitasi serta bantuan kepada pemandu bas serta teksi,” kata Saipolyazan M Yusop ketika ditemui dalam majlis penyerahan bakul makanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat atau terputus bekalan makanan diminta terus menghubungi pejabat LZS dan juga boleh merujuk 2,000 penolong amil kariah yang dilantik di sembilan daerah.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan peruntukan zakat RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli bagi membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Inisiatif dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini dijangka memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi.


Pengarang :