Wakil rakan strategik Mais menyampaikan pek makanan asas kepada seorang penerima pada 23 Julai 2021. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais agih bantuan makanan kepada 331 keluarga di enam daerah

SHAH ALAM, 24 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam mengedarkan makanan asas kepada 331 keluarga di enam daerah yang terkesan akibat Covid-19.

Jabatan memaklumkan sumbangan fidyah disalur kepada penerima sekitar Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor dan Sabak Bernam berupa beras, minyak masak, gula serta tepung membabitkan peruntukan RM33,100.

“Mais berterima kasih kepada semua pembayar fidyah terutama di Selangor dan semoga dapat membantu meringankan beban mereka,” menurut kenyataan di Facebook.

Agihan dibuat melalui 20 rakan strategik agihan fidyah Mais terdiri daripada Pejabat Agama Islam Daerah dan Kompleks Islam Daerah bagi penyediaan dapur fidyah.

Rakan strategik turut melibatkan Sahabat Hospital Selayang, Sahabat Hospital Kuala Kubu Bharu, Maahad Tahfiz, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama Islam, masjid serta surau.

“Mereka (rakan strategik) banyak membantu dalam mengenal pasti golongan memerlukan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.


Pengarang :