Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap pada sidang media selepas membuat pemantauan dengan memeriksa penggunaan aplikasi MySejahtera di sebuah pusat beli-belah selepas penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Majikan dinasihat hantar pekerja terima vaksin ikut janji temu

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis menasihati majikan agar menghantar pekerja mereka terutama warga asing yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mengikut waktu janji temu ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata ini bagi mengelakkan kesesakan di kawasan PPV itu.

“Ramai pekerja warga asing dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan dihantar ke PPV KLCC… majikan dimohon tidak menghantar pekerja terlalu awal ke PPV yang ditetapkan dan patuhi janji temu,” menurutnya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 26 saat memaparkan keadaan sesak orang ramai beratur di pekarangan PPV KLCC.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang videonya tular di media sosial semalam kerana meninggikan suara kepada seorang warga emas lelaki dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Mohamad Zainal berkata kompaun dikeluarkan selepas siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi semalam (Selasa lalu) dan kita mengesan satu rakaman video berdurasi 49 saat di media sosial menunjukkan seorang individu tidak memakai pelitup muka memarahi warga emas,” katanya sambil menambah lelaki itu dikompaun selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira 5.20 petang.

– BERNAMA


Pengarang :