Keadaan Pasar Awam, Sungai Besar lengang pada 24 Julai 2021, susulan tular di media sosial mendakwa wujud kluster Covid-19 melibatkan pasar tersebut- Foto Facebook Puan Ziema Rasman
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majlis daerah nafi wujud kluster Pasar Awam Sungai Besar

SHAH ALAM, 24 JULAI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menafikan dakwaan terdapat 60 kes positif Covid-19 yang dikaitkan dengan Pasar Awam, Sungai Besar.

Yang Dipertuanya Azman Dahlan berkata dakwaan wujud kluster di pasar terbabit seperti tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat kenyataan palsu sehingga mengundang permasalahan, kebimbangan dan ketakutan kepada orang ramai serta pengunjung pasar khususnya peniaga Pasar Awam, Sungai Besar.

“Anda juga diingatkan tidak berkongsi maklumat tidak pasti kerana boleh mewujudkan pelbagai persepsi yang salah kepada awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semakan Selangorkini mendapati seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Puan Ziema Rasman memuat naik status mendakwa kekurangan pelanggan sejak berita palsu itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Hari Sabtu, tak pernah-pernah seperti ini (lengang) mana individu yang tularkan berita Pasar Awam Sungai Besar 60 orang positif itu?

“Datang la borong sayur saya, modal tidak lepas, tengah seronok lihat kesusahan orang lain ke ? sebab mulut semua peniaga pasar ini terjejas,” katanya.

 


Pengarang :