Wakil rakyat pembangkang bangun menyatakan rasa tidak berpuas hati ketika sidang khas Parlimen pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Majlis Peguam: Bentang, bahas Ordinan Darurat di Parlimen

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Majlis Peguam Malaysia hari ini berkata Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Presidennya AG Kalidas berkata Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ‘Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu…’

Beliau berkata peranan Parlimen mendasari nilai-nilai yang diperlukan bagi fungsi demokrasi dan oleh itu, ia harus mematuhi standard integriti yang tinggi apabila melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh Kabinet, Ahli Parlimen dan Speaker Parlimen.

“Justeru adalah mustahak untuk Kabinet menyalurkan maklumat tepat semasa sidang Parlimen bagi memastikan Parlimen dapat mengadakan perbahasan yang berkesan dan bermakna. Dalam apa keadaan sekali pun, Parlimen tidak boleh dikelirukan lebih-lebih lagi semasa pandemik global yang telah menjejaskan kehidupan semua orang di Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

Katanya Majlis Peguam berkongsi rasa amat dukacita Seri Paduka berhubung kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen semasa persidangan baru-baru ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :