Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Malaysia raih pingat pertama, gangsa untuk beregu badminton

TOKYO, 31 JULAI: Berakhirnya satu penantian.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperoleh pingat gangsa, pingat pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo selepas lebih dari seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lepas.

Aaron-Wooi Yik mengambil masa 52 minit untuk menundukkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sport Plaza, di sini hari ini.

Ia sememangnya perlawanan sengit dalam set pertama dengan kedua-dua beregu bersungguh-sungguh mendapatkan mata sebelum Aaron-Wooi Yik mendahului 11-9 sebelum perlawanan direhatkan sebentar.

Selepas perlawanan disambung semula wakil Indonesia itu kemudian beraksi dengan agresif dan mendahului 12-9 serta mengekalkan penguasaan mereka sehingga menamatkan set pertama dengan 21-17.

Pada set kedua, Aaron-Wooi Yik bermula dengan baik dan mendahului 5-3 tetapi kesilapan demi kesilapan dilakukan mereka membolehkan lawan mendahului 11-7 sebelum permainan direhatkan dalam set itu.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah menyerah kalah dan cuba mengejar serta berjaya menyamakan kedudukan pada mata 12-12.

Sejak itu, mereka tidak mengekori lawan dan terus beraksi dengan baik untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas memenangi set kedua 21-17.

Dalam set penentuan, dengan keyakinan yang meningkat beregu Malaysia itu sentiasa mendahului lawan sejak mereka mendahului 1-0 dan seterusnya.

Setelah mendahului 11-7 sebelum waktu rehat, mereka hanya membenarkan wakil Indonesia itu memperoleh tujuh mata sebelum menamatkan set penentuan itu dengan 21-14 menerusi smesy kemenangan Aaron.

Aaron dan Wooi Yik menjerit kegembiraan selepas memenangi perlawanan itu sebelum berbaring di atas gelanggang bagaikan tidak percaya dengan kejayaan dicapai.

Kedua-dua mereka juga kelihatan menitiskan air mata kegembiraan semasa meninggalkan gelanggang.

Sudah pasti bukan mereka berdua merasai kegembiraan itu tetapi semua rakyat Malaysia juga semestinya teruja meraikan pingat pertama negara dan berharap ia merupakan satu titik permulaan untuk kemunculan pingat seterusnya daripada kontinjen negara.

Bagi Aaron-Wooi Yok yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, kemenangan ini juga sebagai membalas dendam kekalahan 16-21 dan 19-21 di tangan beregu Indonesia itu semasa pertemuan mereka dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Isnin lepas (26 Julai).

Kemenangan ini merupakan kemenangan kedua Aaron-Wooi Yik ke atas beregu Indonesia itu dalam sembilan perlawanan sejak perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2018.

Aaron-Wooi Yik yang mengejutkan beregu pilihan utama, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga dari Indonesia, 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir Khamis lepas (29 Julai) gagal mara ke final selepas tewas 22-24, 13-21 kepada beregu pilihan ketiga dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dalam perlawanan separuh akhir, pada Jumaat (30 Julai).

Juara Dunia 2019 Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan kecundang 11-21, 10-21 kepada beregu nombor tiga dunia, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

 


Pengarang :