Kerajaan memberi jaminan bekalan daging mencukupi sepanjang Ramadan dan Syawal. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Masjid Jamilhuda sumbang 480 daging korban untuk penduduk, asnaf

AMPANG, 20 JULAI: Jawatankuasa Masjid Jamilhuda, Kampung Melayu di sini mengedarkan 480 bungkus daging korban kepada penduduk sekitar sempena perayaan Aidiladha.

Nazirnya Hassan Che Kob, 66, berkata setiap pek daging seberat dua kilogram (kg) diagihkan termasuk kepada 220 keluarga asnaf dan sebahagian untuk ahli jawatankuasa (AJK) serta kariah masjid.

Katanya, pemberian tersebut adalah hasil korban tujuh ekor lembu dengan satu daripadanya sumbangan Kerajaan Selangor.

“Aktiviti sembelihan empat ekor lembu dijalankan di masjid manakala tiga lagi di kandang dengan kekuatan 20 petugas terdiri ahli jawatankuasa (AJK) dan ahli kariah mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa berkata pihaknya melaksanakan ibadah korban tahun ini melibatkan 10 ekor kambing dan 11 ekor lembu termasuk satu sumbangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Suzana Shaharudin menjelaskan aktiviti tersebut dijalankan dua hari di Stelvio Bukit Antarabangsa yang terletak berhampiran masjid Bukit Antarabangsa dan ladang ternak berdaftar.

“Agihan dibuat secara pandu lalu di masjid untuk penduduk sekitar membabitkan asnaf fakir dan miskin serta penghuni pangsapuri kos rendah,” katanya.

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan ibadah korban sempena Aidiladha mengikut SOP ketat.


Pengarang :