Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) berbual dengan penerima vaksin ketika meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 12 peratus rakyat Selangor lengkap terima dua dos vaksin

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sejumlah 12 peratus rakyat Selangor telah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sehingga kini, sebanyak 2.3 juta dos vaksin diberikan kepada orang awam menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan ia adalah jumlah tertinggi di Malaysia.

“Selain itu, Program Vaksin Selangor (Selvax) mencatat pemberian 57,339 dos setakat semalam.

“Penggunaan vaksin pula adalah 78 peratus berdasarkan bekalan diterima daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata baki vaksin berjumlah 618,000 dos telah diberi janji temu untuk tempoh tujuh hari mengambil kira jumlah vaksinasi harian kini mencecah 115,000.

“Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan pemberian vaksin sebagai salah satu langkah utama untuk menewaskan wabak Covid-19,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja di bawah Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.


Pengarang :