Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau program Outreach Vaksinasi Covid-19 Taman Desawan, Klang di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia cawangan Selangor pada 18 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: 90 peratus warga emas Selangor terima vaksin

KLANG, 18 JULAI: Sebanyak 90 peratus warga emas di Selangor menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha mempercepatkan suntikan vaksin telah mengurangkan kemasukan golongan tersebut ke hospital sebanyak 40 peratus berbanding sebelum ini.

“Mungkin ada kalangan mereka positif namun tidak perlu dihantar ke hospital sebab berisiko rendah kerana sudah divaksin.

“Sebelum ini kes kematian tinggi di Selangor melibatkan individu belum divaksin serta warga emas yang menghidap penyakit. Jadi kita terus mempergiatkan pemberian vaksin dalam melindungi nyawa rakyat,” katanya selepas meninjau proses suntikan vaksin penduduk Taman Desawan, Klang Jaya hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata pihaknya menggerakkan kenderaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempercepatkan urusan penghantaran dan pengebumian mayat mangsa Covid-19.

“Sebelum ini ada jenazah terpaksa disimpan 48 jam di rumah mayat, jadi kita perkemaskan urusan jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang; Hospital Shah Alam (HSA) dan Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Jenazah dari ketiga-tiga hospital ini akan dihantar ke Tanah Perkuburan Islam Selat Kelang atau Seksyen 21, Shah Alam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri supaya urusan pengebumian mayat warga asing diluluskan segera oleh pihak kedutaan bagi mengelak mayat disimpan antara semingggu hingga sebulan.

Semalam Kerajaan Selangor bersetuju HTAR,HSA dan HSB dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah Covid-19 bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.


Pengarang :