Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

MB: Kebajikan, saringan dan vaksin resipi tangani pandemik

Ketika Selangor berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkongsi rancangan beliau untuk seluruh negeri dalam wawancara eksklusif dengan Sunday Star.

[Temu bual ini yang disediakan oleh Datuk Seri Wong Chun Wai diterbitkan pada 4 Julai 2021. Ia diterjemahkan oleh Irwan Shafrizan Ismail]

Wong: Dato’ Seri, Perintah Kawalan Pergerakan ini telah dilanjutkan dan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedang dirancang, apa pendapat Dato’ Seri?

Amirudin: Kita sekarang berada bawah PKPD selepas Majlis Keselamatan Negara menguatkuasakannya di hampir seluruh Selangor dan Kuala Lumpur bermula 3 Julai.

Bagi saya, ia tidaklah mengejutkan kerana kita sedar langkah-langkah sebelum ini tidak mendatangkan hasil seperti dihajatkan untuk mengurangkan jumlah jangkitan, dengan jumlah kes masih berada sekitar paras 5,000 ke 6,000. Selepas sebulan kita hidup dalam PKP, negara hanya mampu mengurangkan 33 peratus kes daripada rekod tertinggi 9,020 kes pada 29 Mei.

Tetapi tanpa PKP pula, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan negara boleh mencapai 13,000 kes sehari, yang bermakna sistem kesihatan negara akan lumpuh.

Dengan jumlah kes yang begitu tinggi, kita perlu masa beberapa bulan untuk melandaikan keluk jangkitan. Satu-satunya tujuan kawalan pergerakan ini adalah untuk mengurangkan beban hospital, supaya ada cukup kemudahan katil dan peralatan, supaya mudah petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19.

Kita perlu mengambil pendekatan yang jelas terbukti berkesan untuk memerangi penularan virus Covid-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menekankan pendekatan “cari, saring, jejak, asing dan sokong” atau FTTIS. Langkah ini memerlukan kepemimpinan dan kesedaran untuk mengambil keputusan yang pantas dan tepat. Namun tanggapan umum menampakkan masih ada kekurangan dalam hal ini.

Selangor terus menjadi pusat penyebaran utama Covid-19, jika saya boleh gunakan perkataan itu untuk menjelaskan jumlah tinggi jangkitan di negeri ini.

Ya betul, memang cukup tidak menyenangkan saya apabila Selangor terus merekodkan bilangan kes harian terbesar. Tetapi kita juga perlu melihat konteksnya. Selangor mempunyai jumlah penduduk terbesar berbanding negeri lain, 6.57 juta orang tinggal di sini. Jumlah ini tidak termasuk warga negeri lain yang bekerja dan tinggal di sini.

Hampir satu perempat ekonomi negara berpusat di Selangor. Tahun demi tahun, negeri ini antara penyumbang terbesar ekonomi negara berbanding negeri lain. Dengan jumlah penduduk yang begitu besar, pastilah jumlah jangkitan juga tinggi setiap hari.

Kawalan pergerakan menjadi lebih mencabar apabila banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dalam PKP mutakhir. Keadaan ini memudahkan penularan virus di kilang dan pejabat kerana masalah penjarakan fizikal semasa bekerja. Walau sektor pembuatan boleh mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang berbeza, pekerja masih boleh bertemu di ruang makan, ruang solat, selain menggunakan laluan keluar masuk yang sama di tempat kerja.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan kawasan perumahan pekerja yang padat, tinggal di pangsapuri yang kecil, penyakit boleh merebak dengan mudah.

Selain itu, ketetapan PKP yang sekejap ketat sekejap longgar memberi kesan paling teruk terhadap pekerja golongan berpendapatan rendah (B40). Keperitan yang dialami mereka inilah yang mendorong saya dan pasukan saya untuk terus melipat ganda usaha membantu mereka dalam masa yang cukup mencabar ini.

Kerajaan Selangor berdepan dilema besar — mengimbangi keperluan melindungi nyawa dan menjamin pendapatan rakyat.

Dato’ Seri, jelas sekali bukan sahaja golongan B40 yang terpalit dengan masalah ini, malah kelas menengah juga terjejas, golongan yang membentuk majoriti penduduk di Selangor.

Sudah pasti, laporan Majlis Tindakan Ekonomi baru-baru ini masih terngiang-ngiang di telinga saya. Sekurang-kurangnya 600,000 isi rumah kategori berpendapatan menengah (M40) telah jatuh dalam kategori B40.

Sebagai kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau pusat, kita mesti menyelami kepayahan ini. Jabatan Perangkaan menyenaraikan isi rumah kategori M40 menerima pendapatan dalam lingkungan RM4,850 dan RM10,959 dan kategori B40 pula mempunyai pendapatan RM4,850 dan ke bawah.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dilancarkan awal Jun, Kerajaan Selangor akan terus menggerakkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat golongan M40 dan B40. Kita perlu terima hakikat betapa kesan pandemik menjejaskan kelas menengah dan kita tidak boleh mengabaikan nasib mereka.

Oleh itu, apa yang Dato’ Seri cadangkan untuk maju ke hadapan?

Tidak perlu kita mengulangi kelemahan lepas. Sudah 470 hari kita melalui pelbagai bentuk PKP. Saya selalu menganjurkan kerendahan hati dalam pentadbiran. Sekiranya kita melakukan kesilapan, kita harus cepat-cepat perbetulkannya dengan belajar daripada amalan terbaik.

Kita boleh belajar daripada pengalaman negara lain seperti United Kingdom dan China. Kedua-duanya pengeluar vaksin. Sekiranya mereka mahu, mereka boleh memberi tumpuan pada penghasilan vaksin dan menyuntik penduduk mereka begitu sahaja.

Namun mereka tidak melakukannya. United Kingdom mengadakan saringan besar-besaran yang dikenali Operation Moonshot. Mereka melakukan sekurang-kurangnya 209,341,895 ujian walau negaranya seramai 68 juta orang sahaja. Jumlah saringan itu tiga kali ganda daripada bilangan penduduknya.

Begitu juga China. Saya baca laporan awal bulan lalu mengenai bandar Guangzhou dan bagaimana mereka begitu cepat mengekang lonjakan kes Covid-19. Selepas mengenal pasti perebakan awal Jun, Guangzhou menjalankan 18 juta ujian dalam masa tiga hari.

Tindakan itu sangat luar biasa besar dan harus menjadi penanda aras kerja kita. Jadi resipi kejayaan sudah jelas: saringan dan vaksin. Saya sering menjelaskan pendirian ini dalam semua pertemuan saya dengan agensi negeri dan persekutuan, termasuk dengan perdana menteri dan menteri penyelaras vaksin.

Pada akhirnya, suara berasaskan kajian sains mempunyai kekuatannya dan saya gembira kerana kita sudah mula mempunyai persefahaman lebih baik mengenai cara terbaik untuk bergerak ke hadapan.

Kita berharap dapat meningkatkan kadar suntikan kepada 135,000 dos setiap hari pada akhir Julai dan 165,000 dos setiap hari pada akhir Ogos.

Sekiranya kita dapat memberikan vaksin kepada seramai mungkin pekerja kilang termasuk pekerja asing, maka kilang ini tidak perlu ditutup. Kalaupun kita tutup kilang dan kemudian pekerja itu tinggal di rumah, mereka masih akan dijangkiti selagi tidak diberikan vaksin.

Selangor mempunyai sejumlah besar penduduk dari negeri lain yang tinggal dan bekerja di sini. Mereka menganggap Selangor sebagai kampung halaman mereka. Kita juga mahu mereka turut diberi vaksin agar mereka dapat pulang ke negeri asal dengan selamat.

Apakah usaha Kerajaan Selangor sendiri untuk memerangi pandemik ini?

Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Vaksin Selangor (Selvax), usaha kami untuk menyediakan sekurang-kurangnya 2.5 juta dos vaksin bagi melindungi 1.25 juta orang di Selangor. Program ini telah dimulakan (minggu lepas) dan kami berharap bekalan boleh sampai sepenuhnya secepat mungkin dengan lancar untuk mencapai matlamat serampang dua mata, Selvax Komuniti dan Selvax Industri.

Keutamaan kami melalui Selvax Komuniti adalah melindungi 250,000 penduduk dalam kumpulan rentan di Selangor, khususnya penerima program kebajikan Inisiatif Peduli Rakyat seperti warga emas, ibu tunggal dan penerima skim Peduli Sihat. Kami akan meluaskan kumpulan sasar ini pada masa akan datang.

Manakala Selvax Industri pula memberi tumpuan kepada golongan pekerja, [dengan vaksin] dibeli oleh majikan mereka, yang selama ini menjadi nadi ekonomi Selangor, terutama sektor pembuatan danperkhidmatan.

Usaha ini akan membendung ancaman kluster di tempat kerja, selain membolehkan syarikat beroperasi jika terdapat PKP pada masa akan datang, sekali gus melindungi pekerja daripada risiko hilang pendapatan sekiranya syarikat itu terpaksa gulung tikar.

Kumpulan sasar ini akan dimuktamadkan setelah perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan dan Badan Bertindak Imunisasi Covid- 19 (CITF). Baki dos Covid-19 yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri akan diberikan kepada entiti swasta yang berminat dengan sejumlah bayaran. Secara ringkasnya, kami ingin membantu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan program vaksinasi.

Selain program vaksinasi, apakah perkembangan baharu bagi membantu ekonomi rakyat?

Saya dan pasukan saya, bersama dengan jentera pentadbiran, telah menyediakan lima pakej rangsangan sejak Mac 2020, tidak termasuk belanjawan negeri.

Usaha terbaru kami adalah melalui Pakej Kita Selangor 2.0 yang menyediakan bantuan kepada mereka yang paling terjejas disebabkan oleh PKP, berdasarkan pengalaman kami tahun lalu.

Kerajaan Negeri memberikan moratorium bagi pembayaran balik pinjaman Hijrah, penangguhan bayaran kepada penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan skim Smart Sewa, penangguhan pinjaman pelajar Yayasan Selangor dan lain-lain.

Semua ini bagi membolehkan mereka menggunakan lebihan pendapatan untuk membeli makanan dan keperluan asas untuk keluarga masing-masing.

Satu idea baharu akibat pandemik ini, kami menyediakan bantuan kewangan Selangor Advance, dan kita memberi fokus baharu dengan dana RM200 juta untuk memastikan syarikat ada aliran tunai pada masa ini.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM80 juta untuk geran perniagaan mikro bagi membangunkan sekurang-kurangnya 8,000 usahawan baru di Selangor, dengan memberi tumpuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan akibat wabak ini.

Kami turut memberi perhatian kepada Saringan Komuniti dengan menyasarkan 100,000 ujian Covid-19 lagi secara percuma untuk menangani wabak ini dengan lebih baik.

Kami sedang berusaha menyusun perancangan untuk Belanjawan Selangor 2022 yang akan mengandungi lebih banyak rancangan ekonomi jangka panjang yang akan diumumkan akhir tahun ini.

Adakah Selangor sudah bersiap sedia untuk menghadapi wabak ini untuk tempoh yang panjang?

Kita mesti bersedia. Saya yakin dengan itu. Walau Malaysia sudah mencapai kekebalan masyarakat terhadap Covid-19, kehidupan tidak akan sama seperti dahulu. Tidak mungkin sama lagi. Norma masyarakat kita sudah berubah. Asas-asas ekonomi kita harus disusun semula, jika tidak sepenuhnya, sebahagian besar daripadanya.

Pandemik ini menonjolkan lagi keseluruhan kelemahan masyarakat kita. Ia juga menunjukkan betapa pentingnya pentadbiran yang bertanggungjawab dan pantas daya geraknya.

Sebab itulah kami membeli vaksin untuk menggerakkan Selvax. Dengan kemunculan varian baharu Covid-19, rakyat mungkin memerlukan dos tambahan beberapa bulan lagi untuk melindungi diri mereka sepenuhnya.

Satu perkara sahaja yang pasti: kehidupan tidak akan sama seperti dahulu lagi. Lihat warga Hong Kong misalnya, mereka memakai pelitup muka sejak dilanda Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003. Amalan itu sudah menjadi kebiasaan mereka. Sama juga di China, Jepun dan Korea Selatan di mana ramai orang memakai pelitup muka.

Pesanan saya kepada rakyat Selangor begini. Marilah kita bersama-sama harungi masalah ini, harus sama-sama turut memikulnya dan saling melindungi antara satu sama lain dengan semangat “Kita Jaga Kita”.

Elakkan perjumpaan fizikal yang tidak perlu dan manfaatkan mesyuarat secara dalam talian jika boleh. Tinggal di rumah, daftar untuk vaksinasi jika belum, hadir untuk temu janji anda, dan jangan lupa teruskan memakai pelitup muka. Kita akan mengatasi wabak ini bersama-sama.


Pengarang :