Dato’ Seri Amirudin Shari mengimamkan solat sunat Aidiladha di kediaman rasminya di Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Julai 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, keluarga rai Aidiladha secara sederhana di rumah

SHAH ALAM, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha secara sederhana bersama keluarga di kediaman rasmi di Seksyen 7 di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari melaungkan takbir raya bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, bapa mentua dan anak-anak sebelum mengimamkan solat sunat.

Beliau kemudian menyampaikan khutbah bertajuk ‘Persaudaraan Umat Islam: Pengalaman Ibadah Haji dan Korban’ dikeluarkan unit khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor.

Dalan khutbah berkenaan, Amirudin menyeru umat Islam mengambil pengajaran daripada pengalaman ibadah haji dan korban untuk mengukuhkan persaudaraan.

“Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup dengan aman damai dan harmoni agar dapat menjadi benteng daripada serangan musuh Islam,” katanya.

Amirudin juga menggesa umat Islam terus berdisiplin dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan ketika menunaikan solat berjemaah bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Solatlah secara berjemaah bersama-sama ahli keluarga masing-masing, mudah-mudahan kita mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya.

Usai solat, Amirudin yang segak berbaju melayu biru merakam gambar kenangan di pagi Aidiladha dan saling bermaafan.

Beliau dijadual menghadiri aktiviti penyembelihan lembu di Masjid Bukit Antarabangsa dan Masjid Jamilhuda, Kampung Melayu Ampang hari ini.


Pengarang :