AGENDANASIONAL

MB nafi beri kenyataan kes Covid-19 Selangor tidak kritikal

SHAH ALAM, 15 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kes Covid-19 di Selangor masih belum kritikal.

Beliau menyifatkan penyebaran tangkap layar palsu laporan sebuah portal yang kononnya memetik kenyataannya itu sebagai fitnah semata-mata.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Tangkap layar tersebut adalah tidak benar dan bersifat fitnah,” katanya di Facebook hari ini.

Seluruh negara, termasuk Selangor, menyaksikan kenaikan jumlah jangkitan sejak 7 Julai sehingga melepasi angka 10,000 sejak beberapa hari lalu.

Pada 8 Julai, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangka jumlah kes meningkat susulan pertambahan saringan ketika perintah kawalan ketat di negeri itu dan Kuala Lumpur.

Hari ini beliau memaklumkan jumlah jangkitan meningkat lagi kepada 13,215 kes di seluruh negara berbanding 11,618 kes semalam.

Jumlah jangkitan di Selangor melonjak kepada 6,120 kes berbanding 5,051 kes semalam.

Negeri Sembilan merekodkan jumlah tinggi dengan 1,603 kes, sementara Kuala Lumpur pula 1,499 kes.

Angka di seluruh negara, Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan jumlah kes tertinggi masing-masing.

Begitu juga Kedah dan Pulau Pinang yang merekodkan jumlah tertinggi dengan masing-masing 695 dan 509 kes.

 


Pengarang :