Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB, penduduk Flat Taman Samudera takbir raya di balik kawat duri

GOMBAK, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar melaungkan takbir bersama penduduk Flat Taman Samudera Timur, di sini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Laungan itu dibuat malam tadi semasa lawatan beliau ke pangsapuri berkenaan, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak kelmarin.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum itu memberi ucapan kepada penduduk supaya kekal tenang dan sabar dalam menempuhi dugaan beraya di sebalik kawat duri.

“Saya harap anda semua terus bersabar dan jangan keluar kerana kita mahu memastikan 3,320 penduduk disaring Covid-19 dan divaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok.

“Bagi mereka yang beragama Islam saya ucapkan selamat menyambut Aidiladha dan saya minta maaf kerana sememangnya kita tidak mahu perkara ini terjadi.

“…namun saya yakin paling tidak suasana ini menjadikan penduduk lebih akrab dan bantu-membantu dalam kepungan PKPD,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata agihan bakul makanan daripada Kerajaan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga selesai diagih dalam tempoh 48 jam di flat berkenaan.

“Alhamdulillah bantuan bakul makanan juga telah selesai diagihkan dan saya yakin ia dapat bertahan sekurang-kurangnya lima hinga tujuh hari.

“Insya-Allah kita akan cuba hulurkan sokongan dan bantuan dari semasa ke semasa,” kata Amirudin.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuat kuasa 18 hingga 31 Julai.

Sebelum ini, tiga lokasi PKPD di Selangor yang diberikan vaksin adalah Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya, Taman Murni di Sepang dan Pangsapuri Sri Ayu di Bandar Baru Bangi.


Pengarang :