Anggota polis memeriksa dokumen pengguna jalan raya ketika melakukan sekatan di Plaza Tol Gombak bagi memastikan orang awam tidak melanggar Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) ketika tinjauan pada 7 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: PKPD lebih 30 mukim mampu kawal Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) lebih separuh mukim di Selangor perlu bagi mengatasi masalah penularan Covid-19 di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha melawan pandemik sebelum ini dilihat kurang berkesan, justeru tindakan baharu harus dilakukan bagi memutuskan rantaian wabak, lapor portal The Star.

“Selangor beralih ke PKPD. Ini tidak mengejutkan kerana langkah sebelum ini tidak seperti diinginkan. Selangor menjadi penyumbang tertinggi ketika negara merekodkan jangkitan antara 5,000 hingga 6,000 kes.

“Seperti disebut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tanpa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) penuh jangkitan harian boleh mencecah 13,000 dan sistem kesihatan akan lumpuh,” katanya menerusi temu bual eksklusif.

Amirudin menjelaskan kawalan terhadap sekatan pergerakan perlu diperketat sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD berikutan ada sektor dibenar beroperasi lantaran Selangor penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Di tempat kerja walaupun pekerja mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi langkah-langkah ditetapkan, namun risiko jangkitan tetap ada kerana bertemu di kantin, ruang solat dan laluan masuk serta keluar.

“Tambahan lagi jika tinggal di rumah bersaiz kecil seperti flat dan berkongsi beramai-ramai. Penyebaran akan terus berlaku,” katanya lagi.

Bermula semalam hingga 16 Julai ini, PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim dalam lapan daerah Selangor bermula Sabtu ini bagi membendung Covid-19.


Pengarang :