Sebahagian penghuni membuat pendaftaran sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al-Mustaqim, Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Saringan PKPD, kontak rapat punca kes tinggi

SHAH ALAM, 8 JULAI: Jumlah kes harian tinggi di Selangor berpunca saringan menyeluruh yang dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasil saringan tersebut menyumbang kes kumulatif berjumlah 1,346 selain pelaksanaan saringan kontak rapat kes positif di kawasan PKPD.

“Beberapa cadangan disyorkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD.

“Kerajaan Negeri turut mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi,” katanya menerusi Twitter.

Beliau berkata pihaknya melihat matlamat pelaksanaan PKPD untuk memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mencadangkan  hanya sektor ekonomi yang perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya.

Jumlah jangkitan Covid-19 melonjak kepada 8,868 kes hari ini, kedua tertinggi selepas merekodkan 9,020 kes pada 29 Mei lalu.

Selangor pula mencatatkan 4,152 kes, peningkatan tertinggi daripada kebiasaan 2,000 hingga 3,000 kes.

PKPD dikuat kuasa di negeri ini membabitkan 34 mukim di lapan daerah bermula 3 hingga 16 Julai. Sebanyak 14 kawasan di Kuala Lumpur turut dilaksanakan PKPD

Jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka meningkat susulan saringan di kawasan PKPD.

Ketua pengarah kesihatan menjelaskan aktiviti mengesan kontak rapat dipergiatkan di kawasan itu bagi mengurangkan wabak Covid-19 menular.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan dijalankan ke atas 10 peratus penduduk di kawasan PKPD, terutama yang berisiko tinggi.


Pengarang :