Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Mohd Roslan Sulaiman (tiga, kiri) meninjau premis bank makanan yang disediakan universiti berkenaan ketika penyerahan bantuan makanan kepada mahasiswa pada 8 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB seru wakil rakyat peka kibaran bendera putih, arah segera bantu

SERDANG, 8 JULAI: Wakil rakyat negeri ini diminta peka terhadap penduduk kawasan sekitar yang memerlukan bantuan terutama yang mengibarkan bendera putih.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keadaan itu tidak boleh dipandang enteng berikutan ia isyarat masyarakat sedang dalam kesusahan.

“Masyarakat terpaksa sampai ke tahap ini (kibar bendera putih). Jadi kita perlu sokong kerana inilah realiti dihadapi rakyat dan rintihan mereka.

“Walaupun ada segelintir yang ambil kesempatan namun jumlah itu kecil. Kalau kita jumpa (bendera putih) terus siasat dan serah bantuan segera,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyerahkan bantuan makanan kepada pelajar Universiti Putra Malaysia melalui program Pembangunan dan Kebajikan Mahasiswa Anak Negeri Selangor.

Kempen bendera putih yang dimulakan rakyat sebagai satu gerakan keprihatinan untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa sebarang unsur politik.

Menerusi kempen itu, orang ramai yang sedang dalam kesusahan diminta menaikkan bendera putih sebagai isyarat mereka memerlukan pertolongan.

 


Pengarang :