Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Outreach Vaksinasi Covid-19 Taman Desawan, Klang di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia cawangan Selangor pada 18 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Suntikan vaksin cecah 300,000 dos hujung bulan ini

KLANG, 18 JULAI: Jumlah pemberian vaksin harian negeri boleh mencecah ke tahap maksimum 309,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan jumlah itu hasil program Selangor Vaksin (Selvax), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

“Saya yakin kalau semua diatur baik termasuk bekalan mencukupi, kita akan dapat capai angka ini. Pagi Jumaat lepas ketika mesyuarat bersama Khairy Jamaluddin (menteri penyelaras PICK), kita sasar 272,000 dos sehari menjelang 26 atau 27 Julai.

“Sekarang suntikan harian juga melebihi 100,000. Dalam masa sama, Selvax Komuniti dan Selvax Industri turut berjalan melibatkan 6,000 hingga 7,000 dos,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada penduduk Taman Desawan, Klang Jaya hari ini.

Jelas Amirudin, pihaknya kini sedang berurusan dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi membolehkan data harian Selvax terus dimuat naik ke dalam sistem organisasi itu.

“Sekarang data harian (Selvax) tidak boleh direkodkan setiap hari. Jadi akhir bulan ini kita jangka dapat lihat angka dos suntikan lebih baik dan tinggi di negeri ini,” katanya.

Pada 15 Jun, kerajaan Selangor dan persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Sebelum ini, hanya 43,000 orang disuntik setiap hari di negeri ini tetapi pelbagai langkah baharu diambil dalam mesyuarat CITF bagi meningkatkan vaksinasi.


Pengarang :