Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Outreach Vaksinasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi pada 10 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tiada kompromi individu terlibat rasuah, salah guna kuasa

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana individu terutama pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan kesalahan rasuah atau penyelewengan kuasa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu telah dinyatakan ketika beliau mengadakan sesi libat urus bersama penjawat awam menerusi Majlis Mahabbah Ramadhan pada 23 April lalu.

“Saya sedia maklum berita penahanan reman beberapa pegawai perkhidmatan awam Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terkait isu rasuah.

“Kerajaan Negeri juga mengikuti dengan dekat beberapa jabatan berkenaan serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun Amirudin turut mengingatkan masyarakat tidak menghukum terlebih dahulu individu terbabit selagi ia tidak terbukti bersalah oleh agensi yang menjalankan siasatan.

“Sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM atau pihak berkuasa, perlu ditegaskan sejajar dengan prinsip ‘rule of law’ bahawa tiada sesiapa dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Justeru, Kerajaan Negeri menghormati proses yang sedang berjalan dan kekal menjunjung prinsip ketelusan,” tegasnya.

Pada 23 Julai, SPRM menahan dua individu yang juga bekas yang dipertua pihak berkuasa tempatan kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan kawasan masing-masing.


Pengarang :