Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyantuni orang ramai yang hadir bagi mendapatkan suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 21 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB tinjau suntikan dos kedua Selvax Komuniti di PPV Sri Siantan

GOMBAK, 21 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa meninjau proses suntikan dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Beliau yang tiba sekitar jam 11.45 pagi meninjau setiap stesen iaitu saringan gejala dan suhu, pendaftaran, konsultasi dan persetujuan, suntikan serta pemerhatian.

Turut serta ialah penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare Dr Muaz Omar.

Tinjauan Selangorkini mendapati penduduk yang berdaftar bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti beratur seawal jam 9 pagi untuk mendapatkan suntikan.

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengimbas kod bar Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan MySejahtera, menyukat suhu badan serta menjaga penjarakan fizikal.

Lokasi PPV turut dikawal ketat oleh polis dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :