Selangorkini
Aaron Chia-Soh Wooi Yik peroleh gangsa, pingat pertama untuk negara di Olimpik Tokyo. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap tahniah kepada beregu lelaki negara

SHAH ALAM 31 JULAI: Dato’ Menteri Besar merakam ucapan tahniah buat gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memperoleh pingat gangsa pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata pasangan berkenaan mempamerkan permainan yang bertenaga dan cukup menghiburkan.

“Kejayaan yang amat membanggakan. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada para atlet dan pasukan Malaysia untuk terus mengutip pingat dan memenangi pingat emas yang dinanti-nanti.

“Kemenangan beregu negara ini yang menewaskan ‘The Minions’ dan ‘The Daddies’, beregu nombor satu dan dua dunia tentunya menjadi detik manis bagi pasangan yang pertama kali beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.

Aaron Chia-Wooi Yik memperoleh pingat gangsa, pingat pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo selepas lebih dari seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lalu.

Mereka menundukkan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dengan keputusan 17-21, 21-17, 21-14 dalam aksi hampir satu jam di Musashino Forest Sport Plaza.

Sebelum ini beregu nombor satu negara itu mara ke separuh akhir dengan mengatasi beregu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia menerusi kemenangan 21-14, 21-17.


Pengarang :