Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor menghulurkan sumbangan kepada pemain gitar kumpulan Search, Kid di Petaling Jaya pada 15 Julai 2021 – Foto Sumberkini
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI hulur bantuan kepada pemain gitar Search

SHAH ALAM, 18 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang wang tunai dan barangan keperluan asas kepada pemain gitar kumpulan Search, Kid.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata bantuan bagi meringankan beban Kid susulan isterinya Noraznin Yusof, 55, disahkan menghidap kanser darah tahap empat.

“Kid sedang kumpul dana rawatan yang mencecah RM80,000. MBI juga akan membantu Kid mendapatkan bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi penyediaan dokumen.

“Ketika ini Kid juga giat mengadakan gig atau persembahan mini bagi mencari dana tambahan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Beliau menyerahkan bantuan terbabit kepada Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd Taib,54, di Petaling Jaya.

Ahmad Azri berkata sumbangan berkenaan merupakan kesinambungan bantuan pihaknya kepada bekas atlet dan artis veteran.

“Kita bantu Kid kerana beliau dekat dengan masyarakat sebagai pemuzik selain ketika ini turut berdepan masalah kewangan.

“Pada Mei lalu kita bantu bekas pemain bola sepak Selangor Azhar Sharif dan kini beliau ditempatkan di kawasan jagaan Majlis Agama Islam Selangor,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Noraznin disahkan menghidap kanser sejak awal Disember tahun lalu.


Pengarang :