Timbalan Pengerusi Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial Bahagian E2 Polis Bukit Aman, Superintendan Hisham Mohd Den (tengah) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Pangsapuri Ghazal, Taman Impian, Balakong pada 19 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI, Persatuan Kebajikan Polis Bukit Aman bekerjasama bantu keluarga terkesan

HULU LANGAT, 19 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Polis Bukit Aman menyalurkan 100 pek makanan asas kepada keluarga terjejas Covid-19 di dua kawasan perumahan.

Ketua tanggungjawab sosial korporat (CSR)nya berkata bakul makanan bernilai antara RM80 hingga RM100 setiap satu diedar kepada penghuni Pangsapuri Ghazal, Balakong dan Taman Sri Gombak.

“Buat pertama kali kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) daripada pasukan beruniform dijalin untuk membantu penduduk melalui agihan bekalan seperti beras, minyak masak, sardin, mi segera, garam dan gula.

“Pasukan ini memohon untuk melaksanakan program dan kita bersetuju kerana mereka memiliki senarai penduduk terjejas selain ramai keanggotaan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan tersebut bersama Timbalan Pengerusi Persatuan Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial Bahagian E2 Cawangan Khas Bukit Aman Superintendan Hisham Mohd Den.

Aisyah Abdullah. Fot HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, wakil penduduk Aisyah Abdullah, 53, berkata dia dipertanggungjawab mengenal pasti keluarga di pangsapuri itu yang layak dan memaklumkan majoriti daripada mereka berdepan kekangan mendapatkan makanan asas berikutan hilang punca pendapatan sejak awal tahun ini.

“Hampir lapan bulan lihat jiran susah serta tidak mampu beli makanan dan saya pun tidak senang duduk. Bukan tidak mahu tolong tetapi saya sendiri turut menanggung kesusahan sama dan dibantu.

“Alhamdulillah, saya sangat lega dan berterima kasih atas keprihatinan mereka yang membantu,” kata pesara kerajaan itu.

Nik Mat Khazuri Nik Nordin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Seorang lagi penerima, Nik Mat Khazuri Nik Nordin, 43, bersyukur kerana terpilih menerima bantuan tersebut yang sekurang-kurangnya dapat menampung bekalan sedia ada di rumah.

Bapa tiga anak berkata pendapatan sebagai pekerja kontrak terjejas sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 awal Jun lalu sehingga menyukarkan untuk membeli keperluan asas.

“Terima kasih kerana membantu meringankan beban kami sekeluarga, apatah lagi barang dapur kerap habis,” katanya yang sudah enam tahun menetap di pangsapuri terbabit.


Pengarang :