Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerdanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (kiri) menyampaikan tablet kepada pelajar (kanan) di Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11, Shah Alam pada 28 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI sumbang tablet untuk pelajar SAM Tinggi Tengku Ampuan Jemaah

SHAH ALAM, 28 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 15 unit tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di sini bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata peranti jenis Lenovo bernilai RM700 setiap satu disumbangkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) selepas pemilihan dibuat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

“Mereka yang dikenal pasti ini mempunyai masalah untuk mengikuti PdPR dalam talian sepanjang tempoh pandemik kerana ketiadaan peranti malah ada sebahagian mereka terpaksa berkongsi satu gajet dengan adik-beradik lain.

“Kita berharap kemudahan ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk belajar dan mengelak melakukan perkara tidak sepatutnya,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menjangkakan akan menerima lebih banyak permohonan mendapatkan kemudahan sama mengambil kira sesi PdPR dilanjutkan sehingga akhir Ogos.

“Setakat ini ada dua permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), namun kebiasaannya kita mengehadkan antara 10 hingga 15 unit kerana perlu membantu sekolah lain.

“Insya-Allah, kita masih lagi mampu untuk memberi sumbangan seperti ini sehingga hujung tahun berdasarkan baki peruntukan tersedia melalui pakej bantuan Covid-19,” katanya.


Pengarang :