Orang ramai mendaftar sebelum menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick Hotel dan Convention Centre KLIA, Sepang pada 20 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI teliti pinda borang rebat ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 21 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneliti keperluan meminda format borang permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Langkah itu susulan kerajaan membenarkan individu belum mendapat janji temu hadir terus ke PPV bagi mendapat suntikan mulai 1 Ogos, kata ketua tanggungjawab sosial korporatnya.

“Kami (MBI dan Grab) akan teliti keperluan meminda format borang permohonan agar mereka yang belum mendapat tarikh vaksin boleh memohon lebih awal.

“Asalkan penggunaan baucar tersebut digunakan sebelum 30 September,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan rebat tersebut tidak boleh diberikan serta-merta berikutan ia perlu disemak supaya memenuhi syarat ditetapkan.

Permohonan rebat melalui perkhidmatan Grab yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.

Pendaftaran boleh dibuat melalui www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal.

Pada 16 Julai, kerajaan mengumumkan warga Selangor dan Kuala Lumpur yang belum mendapat janji temu suntikan vaksin boleh datang terus ke PPV tertentu mulai 1 Ogos.


Pengarang :