Selangorkini
Pembantu Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Hafizul Harun menunjuk arah kepada seorang pesakit Covid-19 dengan mengamalkan penjarakan sosial di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam ketika tinjauan SelangorKini pada 17 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
PBT SELANGOR

MBSA mula bertugas 6 pagi elak sesak di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM, 17 JULAI: Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula bertugas seawal 6 pagi di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini bagi memastikan kelancaran proses terutama mengelak kesesakan.

Pembantu penguat kuasa Mohd Shukri Shafieai berkata walaupun pusat berkenaan hanya dibuka pada 9 pagi, lima anggota bertugas perlu bersiap sedia berikutan orang ramai mula beratur seawal 7 pagi.

“Kita nak elak kesesakan kerana ada yang meletak kenderaan di kawasan tidak dibenarkan. Selain itu kita juga maklumkan lorong mana mereka perlu beratur bagi mengelak tersalah barisan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pembantu Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Mohd Shukri Shafieai. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI

Beliau berkata pihaknya memberi arahan dan makluman menggunakan pembesar suara bagi menjaga keselamatan diri masing-masing.

Hafizul Harun yang juga pembantu penguat kuasa MBSA berkata tiga kali khemah bertugas terpaksa ditukar dengan yang terakhir di kawasan tinggi dan berpagar susulan terdapat rakan mereka dijangkiti Covid-19.

“Ketua Polis Daerah Shah Alam pun arahkan kami elak dari turun dari sini kerana khuatir akan dijangkiti.

“Sebelum ini kami di bawah, jadi ada yang datang bertanya walaupun sudah jaga jarak tetapi terdapat beberapa rakan dijangkiti,” katanya.

Katanya, situasi semasa di CAC Stadium Malawati kian terkawal selepas beberapa pusat penialaian lain turut dibuka setiap hari bagi mengelak kesesakan seperti terjadi pada 12 Julai lalu.

Pada 15 Julai, CAC di Selangor dibuka setiap hari berbanding Isnin hingga Jumaat seperti sebelum ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu telah dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam pertemuan mereka susulan kesesakan berlaku di Stadium Malawati dan Sri Andalas.


Pengarang :