Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Bukan sebelah pihak, pembangkang boleh beri pendapat

KOTA BHARU, 18 JULAI: Ahli parlimen boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka pada persidangan khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung lima hari mulai 26 Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada semua ahli parlimen menerusi notis pemberitahuan sidang khas bertarikh 15 Julai.

“Di dalam notis itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat juga benarkan ahli-ahli parlimen untuk meminta penjelasan dan memberikan pandangan semasa penerangan (daripada menteri) nanti.

“Jadi tidak timbul penerangan sebelah pihak atau hanya dengar taklimat sahaja, itu tidak benar sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini.

Takiyuddin berkata tiga urusan mesyuarat ditetapkan pada persidangan khas Dewan Rakyat iaitu Proklamasi Darurat bertarikh 11 Jan 2021 serta Ordinan-Ordinan Darurat yang akan dibentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Agenda kedua (ialah) membentangkan Proklamasi Darurat yang dibuat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

“Agenda ketiga ialah penerangan oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri berkaitan Pelan Pemulihan Negara, Program Vaksinasi, Pelaksanaan Darurat dan Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi,” katanya.

Beliau berkata selepas pembentangan itu, ahli parlimen dengan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka.

“Macam mana kaedah, seperti berapa lama tempoh, terpulang kepada speaker (untuk) tentukan,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah persidangan khas Dewan Rakyat akan dilaksanakan itu, Takiyuddin berkata pada dasarnya ia akan diadakan secara fizikal.

“Semua boleh hadir tetapi bergantung kepada tatacara operasi piawai (SOP), ini belum diputuskan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya sambil memberi contoh situasi semasa pembentangan Belanjawan 2021 yang menyaksikan kehadiran ahli parlimen secara fizikal dalam Dewan Rakyat dihadkan kepada 80 orang.

-BERNAMA


Pengarang :