Orang ramai diminta mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan strok haba. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MetMalaysia: Cuaca lebih panas, kering hingga pertengahan September

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Tiada gelombang haba berlaku di Malaysia setakat hari ini, bagaimanapun negara ketika ini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk status gelombang haba di seluruh negara dan menyebarkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan dan persiapan menghadapi bencana.

“Berdasarkan pemantauan MetMalaysia terhadap gelombang haba hingga 21 Julai, tiada kawasan di negara ini yang terdedah dengan sebarang gelombang haba,” menurut kenyataan MetMalaysia menerusi e-emel hari ini mengenai cuaca panas dialami negara pada masa ini.

Selain itu, MetMalaysia memberitahu stesen meteorologinya tidak merekodkan suhu lebih daripada 35 darjah Celcius (°C) selama tiga hari berturut-turut, justeru pihaknya tidak menjangkakan suhu akan melebihi 40°C.

Jelasnya, 40.1°C adalah suhu tertinggi direkodkan di Malaysia ketika fenomena El Nino terkuat melanda negara pada 1998.

“Dari segi perubahan cuaca, kami menjangkakan berlaku hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi disebabkan Malaysia sedang beralih monsun khususnya di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung selain pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak,” menurut MetMalaysia.

Sementara itu, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang berkata gelombang haba di Malaysia dikaitkan dengan kebolehubahan cuaca iaitu Madden-Julian Oscillation (MJO) dan El Nino.

“Madden-Julian Oscillation adalah fenomena biasa, yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20 ke 60 hari. Semasa Monsun Barat Daya, ia boleh meningkatkan suhu satu ke dua darjah hingga sekitar bawah 40°C bergantung kepada kawasan. Malah, kita sudah mengalaminya sekarang,” katanya menerusi e-mel.

Beliau berkata ini adalah kejadian biasa disebabkan oleh pengaruh pusat perolakan MJO yang dipertingkat, membawa ketidakstabilan kelembapan dan cuaca ke Malaysia dan selepas itu, pusat perolakan dipertingkat ini disusuli oleh pusat perolakan dikurangkan yang menyebabkan cuaca panas dan kering di Malaysia.

Beliau berkata ini bukanlah gelombang haba yang luar biasa kerana Madden-Julian Oscillation adalah fenomena berulang yang menyederhanakan suhu basah-kering di negara ini.

Seorang lagi pakar perubahan iklim, Dr Renard Siew berkata gelombang haba ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia berlaku setiap tahun dengan variasi.

“Kesan pulau haba bandar (kawasan bandar mengalami suhu lebih tinggi daripada kawasan luar bandar), juga satu lagi penyebab peningkatan suhu,” katanya.

Beliau berkata dari sudut pandang perubahan iklim, ia tidak banyak memberi kesan daripada perspektif pemanasan global, bagaimanapun ia juga menyebabkan inter variability of rainfall (kawasan yang biasanya mendapat jumlah air yang banyak tidak lagi mendapat taburan hujan yang banyak seperti dahulu).

Menurutnya, oleh kerana ia adalah kejadian biasa, gelombang haba ini perlu dipantau turun naik suhunya.

-BERNAMA


Pengarang :