Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (dua dari kanan) membantu mengangkat kotak makanan ketika melancarkan program Bantuan Makanan Asas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Covid-19 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pandamaran Jaya pada 5 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Miti perlu rujuk PBT sebelum beri syarikat kelulusan beroperasi

PELABUHAN KLANG, 6 JULAI: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (​Miti) diminta merujuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum kebenaran beroperasi diberi kepada mana-mana pihak ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata PBT mempunyai maklumat lengkap setiap syarikat atau kilang selain mengetahui tahap kepentingan untuk pihak terbabit beroperasi.

“Sebelum luluskan permohonan, Miti atau Majlis Keselamatan Negara perlu minta bukti daripada syarikat kerana ada pihak tidak jujur ketika memohon. Pastikan dasar, polisi dan garis panduan jelas.

“Kalau perkara ini tidak diberi perhatian, masalah akan kekal berlaku. Kluster tempat kerja semakin meningkat dan tak akan selesai,” kata Azmizam Zaman Huri.

Terdahulu beliau melancarkan program bantuan bakul makanan untuk penduduk terjejas sekitar DUN Pelabuhan Klang semalam.

Bermula Selasa lalu hingga 16 Julai ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD di 34 mukim dalam lapan daerah di Selangor bagi membendung Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

Selain itu bukan pekerja perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh itu.


Pengarang :