Rosdi Zakaria memasang penyerap hentak pada salah sebuah kenderaan di bengkelnya di Sri Pristana, Sungai Buloh
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MKN: Bengkel kenderaan, dobi mula beroperasi hari ini

SHAH ALAM, 17 JULAI: Bengkel kenderaan, kedai barangan logam dan dobi termasuk layan diri dibenarkan beroperasi seluruh Selangor bermula hari ini susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di 34 mukim semalam.

Berdasarkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut Pelan Pemulihan Negara tatacara operasi piawai (SOP) Fasa 1, premis hanya boleh dibuka dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Dalam tempoh sama juga MKN membenarkan operasi kedai barangan bayi, cermin mata, farmasi, pasar raya dan klinik haiwan.

Sementara pengusaha kedai makan, restoran dan penjaja tepi jalan dibenar memulakan perniagaan dari jam 6 pagi hingga 10 malam berbanding sebelum ini dari 8 pagi hingga 8 malam.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penamatan PKPD di 34 mukim di negeri ini yang dikuat kuasa selama dua minggu bermula 3 Julai lalu.

Antara SOP lain dibenarkan:

  • Dua orang isi rumah dibenar dalam satu kereta tidak lebih 10 kilometer untuk beli makanan, keperluan asas
  • Tiga orang dalam satu kereta bagi mendapatkan rawatan, vaksinasi, kecemasan.
  • 20 peratus kakitangan awam dibenar bekerja di pejabat manakala 60 peratus untuk kakitangan swasta.
  • Aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan namun hanya senaman dan joging dari jam 7 pagi hingga 8 malam.
  • Stesen minyak dibuka dari 6 pagi hingga 8 malam manakala stesen di lebuh raya beroperasi 24 jam.


Pengarang :