Mohd Yazid Sairi pada majlis mengangkat sumpah sebagai yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kelapan pada 27 Julai 2021. Foto MPS
PBTSELANGOR

Mohd Yazid dilantik yang dipertua MPS baharu

SHAH ALAM 30 JULAI: Mohd Yazid Sairi dilantik sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Berucap dalam majlis angkat sumpah pada Selasa, beliau bertekad memberi penekanan berhubung isu kilang tanpa kebenaran, pembuangan sampah haram, kacau ganggu dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya berhasrat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kerjasama diharapkan daripada barisan ahli majlis untuk menjadi perantara antara masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan aduan bagi membolehkan MPS membuat tindakan,” katanya.

Pelantikan Mohd Yazid sebagai YDP kelapan menggantikan Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor yang berpindah ke Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Beliau yang berusia 47 tahun merupakan pemegang Sarjana Pengurusan Strategik Sumber Manusia di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan mempunyai pengalaman hampir 21 tahun dalam pentadbiran awam.

Jawatan terakhir yang disandang beliau ialah timbalan pengarah pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


Pengarang :