PBTSELANGOR

MPSepang wujud talian bantu golongan terjejas akibat pandemik

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mewujudkan talian bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk daerah itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata Talian MPSepang Sejahtera akan menggunakan talian perkhidmatan dan aduan sedia ada dengan meluaskan skopnya bagi menangani permasalahan masyarakat.

“Saya amat yakin golongan tersebut amat memerlukan bantuan dan perhatian dari segi sumber kewangan atau pelbagai bentuk bantuan bagi menampung kelangsungan hidup sekali gus memastikan kesejahteraan dan kebajikan mereka terjaga.

“Dengan adanya talian ini ia akan membolehkan pemusatan maklumat bagi bantuan makanan, keperluan asas, kesihatan dan kewangan disalurkan kepada agensi berkaitan,” katanya melalui perutusan Mesyuarat Ahli Majlis MPSepang Bil 7/2021 hari ini.

Tambahnya, talian tersebut tidak akan mengurangkan fungsi saluran bantuan sedia ada dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk zon sebagai medium untuk penduduk Sepang memohon bantuan.

Penduduk yang ingin mendapatkan bantuan boleh hubungi Hotline MPSepang di talian 03-83190200 atau 03-83190300 atau WhatsApp melalui 019-2826533.

Talian ini beroperasi pada hari bekerja sahaja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan menghantar sistem pesanan ringkas ke 15888 untuk mengetahui status permohonan.


Pengarang :