AGENSISELANGOR

MSN Selangor peruntuk RM2.4 juta baik pulih padang, gelanggang sukan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memfokus untuk membaik pulih kira-kira 50 padang permainan dan gelanggang sukan membabitkan peruntukan RM2.4 juta tahun ini.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata dana itu diluluskan Kerajaan Negeri bagi memberi keselesaan kepada warga negeri ini untuk bersukan dan rekreasi.

Menurut Mohd Nizam Marjugi, kemudahan di mukim dan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu antaranya padang bola sepak, gelanggang futsal, sepak takraw, bola keranjang dan taman permainan.

“Kita berharap dapat menyiapkan 50 kerja baik pulih pada tahun ini, namun tempoh itu turut bergantung kepada perkembangan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Mohd Nizam berkata pihaknya berharap kerajaan Pusat dapat memberi kebenaran bagi menjalankan projek di bawah kelulusan MSN Selangor seperti bagi kerja di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekarang ini kerja tidak boleh dilakukan kerana tidak mendapat kebenaran dan tidak termasuk dalam perkhidmatan perlu.

“Tetapi projek itu juga perlu dibenarkan kerana ada diantara strukturnya usang dan membahayakan penduduk, contohnya ada pagar gelanggang futsal hampir roboh, kalau tidak dibaiki bahaya kepada sesiapa melaluinya,” katanya.


Pengarang :