Gambar Hiasan
SELANGOR

Nelayan Banting jatuh dalam laut ditemui mati lemas

SHAH ALAM, 26 JULAI: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Batu Laut, Klang, empat hari lepas, ditemukan lemas di kedudukan 7.1 batu nautika barat daya Muara Sungai Langat, hari ini.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor Komander Maritim Norihan Ngah berkata mayat K Thineswaran, 27, yang merupakan nelayan tempatan berasal dari Banting ditemukan oleh orang awam pada kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

“Sejurus menerima maklumat berkenaan, Maritim Selangor menugaskan bot Pengawal 26 yang sedang dalam operasi Carilamat ke lokasi dan menemukan mayat lelaki dalam keadaan terapung.

“Ia disyaki mayat Thineswaran yang dikatakan telah keluar ke laut tanpa memakai jaket keselamatan dan menggunakan bot jenis pukat hanyut bersama seorang rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke laut akibat cuaca buruk pada 23 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pengawal 26 telah membawa mayat ke Jeti Nelayan Kanchong Laut bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut.

Norihan berkata orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

-BERNAMA


Pengarang :