Perenang negara Phee Jinq En. Foto Majlis Sukan Negara
AGENDASUKANKINI

Olimpik: Jinq En pecah rekod kebangsaan 100 meter kuak dada

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Perenang negara Phee Jinq En berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) kuak dada dalam saringan dua di Sukan Olimpik Tokyo semalam.

Jinq En merekodkan 1 minit 08.40 saat (s) memperbaharui catatan miliknya sendiri 1:08.50s yang dilakukannya ketika meraih pingat emas di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, atlet berusia 23 tahun itu menamatkan saingan di tempat kedua di belakang perenang Slovakia Andrea Podmanikova (1:08.36s) diikuti Tilali Scanlan dari Samoa Amerika di tempat ketiga (1:10.01s).

Bagaimanapun, masa yang dicatatkan masih belum mencukupi untuk membolehkan Jinq En layak beraksi di separuh akhir yang dijadual pada Isnin (Julai 26). Jinq En menamatkan saingan di kedudukan ke-29 daripada 43 peserta keseluruhan.

Cabaran atlet negara itu belum berakhir kerana beliau bakal beraksi dalam acara 200m kuak dada wanita pada Rabu (28 Julai).

Sementara itu, seorang lagi perenang negara Welson Sim Wee Sheng pula melakukan rekod terbaik musim ini dalam acara 200m gaya bebas lelaki meskipun gagal meneruskan saingan di Olimpik Tokyo.

Beliau mencatatkan 1:49.24s untuk menamatkan renangan di tempat ketujuh dalam saringan dua yang diungguli perenang Romania David Popovici (1:45.32s), diikuti Velimir Stjepanovic dari Serbia (1:46.26s) kedua dan Jacob Heidtmann dari Jerman (1:46.73s) di tempat ketiga.

Atlet berusia 24 tahun dari Sarawak itu menduduki tempat ke-32 daripada 39 peserta keseluruhan.

Hanya 16 perenang terbaik meneruskan saingan di peringkat separuh akhir yang dijadual pada Isnin (26 Julai).

Pada Sabtu, Welson gagal melayakkan diri ke final acara 400m gaya bebas individu lelaki selepas mencatatkan 3:58.25s untuk menduduki tempat ke-33 daripada 36 perenang keseluruhan.

-BERNAMA


Pengarang :