Beregu Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada gandingan China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen 24-22, 21-13 pada aksi separuh akhir Olimpik Tokyo pada 30 Jun 2021 – Foto Facebook Majlis Sukan Negara
AGENDASUKANKINI

Olimpik Tokyo: Impian emas beregu badminton berakhir

TOKYO, 30 JULAI: Impian beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mencipta satu lagi kejutan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kehebatan gandingan dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada aksi separuh akhir, malam ini.

Setelah berjaya mengenepikan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia di suku akhir semalam, rentak cemerlang itu gagal diteruskan oleh pasangan negara yang tewas 24-22, 21-13 kepada juara dunia 2018 di  Musashino Forest Sport Plaza.

Aaron-Wooi Yik yang  menghuni ranking kesembilan dunia, mempamerkan aksi meyakinkan apabila memberikan saingan sengit pada set pertama dengan mendahului hampir keseluruhan perlawanan sebelum terikat empat kali bermula dari 19-19 sebelum pasangan China menoktahkan kemenangan 24-22.

Perlawanan set kedua menyaksikan gandingan China yang diletakkan sebagai pilihan ketiga tampil lebih garang dengan corak permainan pantas berjaya memerangkap pasangan negara yang kerap melakukan kesilapan sekali gus memberikan mata mudah kepada lawan.

Ketinggalan 7-11, Aaron-Wooi Yik cuba bangkit dalam usaha mengheret perlawanan kepada set penentuan, namun pasangan China itu ternyata sukar digugat apabila terus mengutip mata untuk menamatkan perlawanan 21-13 dan menempah slot ke final berdepan pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin.

Semalam, Aaron-Wooi Yik mengejutkan pasangan Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang 21-14, 21-17 di suku akhir.

Bagaimanapun, perjuangan beregu lelaki utama negara itu belum tamat apabila mereka akan sekali lagi  berdepan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam perebutan pingat gangsa, esok.

Terdahulu, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan tewas kepada pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin 21-11, 21-10 pada satu lagi aksi separuh akhir.

— BERNAMA


Pengarang :